Cara Mengenalpasti Identiti Pengirim E-mel
Bayangkan anda telah menerima e-mel yang mendakwa bahawa anda telah memenangi beberapa hadiah dalam bentuk tunai atau cabutan bertuah. Sebelum anda mempercayai mesej yang disampaikan melalui e-mel dan sebelum menghantar jawapan anda, adalah penting untuk anda mengenalpasti dan menyiasat identiti pengirim e-mel tersebut terlebih dahulu.
Biasanya ada dua kaedah yang boleh digunakan untuk mengesahkan identiti seseorang yang dikaitkan dengan alamat e-mel. Anda boleh menggunakan alamat e-mel penghantar atau menggunakan alamat IP alamat e-mel itu untuk menyiasat lokasi e-mel dihantar.
1. Google
Jika anda telah menerima e-mel yang mendakwa bahawa anda telah memenangi hadiah maka langkah pertama yang harus anda lakukan adalah dengan mencari di Google. Salin alamat e-mel pengirim dan tampalkannya di bar carian Google.
Jika ia adalah penipuan atau scammer, berkemungkinan besar anda akan menemui beberapa maklumat mengenainya. Jika anda tidak menemui apa-apa maklumat di Google tentang alamat e-mel penghantar, anda boleh teruskan dengan kaedah seterusnya.
2. Petunjuk Sama Ada Ia E-mel Sah
Jika anda ragu-ragu dengan kesahihan e-mel tersebut, berikut adalah beberapa perkara yang perlu diperhatikan untuk mengenalpasti sama ada ia benar atau palsu:
- Alamat e-mel penghantar tidak sepadan dengan alamat laman web sesebuah organisasi.
- E-mel dihantar dari alamat mel web percuma.
- Nama anda tidak digunakan dengan betul dalam e-mel.
- E-mel seperti kecemasan atau mengandungi rasa segera mengenai jawapan atau respons anda.
E-mel mengandungi pautan laman web dan anda diminta untuk klik padanya. Pautan ini boleh dipalsukan atau mungkin kelihatan seperti alamat yang betul (kesilapan ejaan kecil menjadikannya sama sekali berbeza) dari beberapa laman web yang sah dan meminta anda memasukkan maklumat peribadi anda seperti nama pengguna, kata laluan, dan sebagainya.
Perkara-perkara ini akan membantu anda untuk mengenalpasti bahawa sama ada pengirim adalah orang sebenar atau scammer.
3. Gunakan Facebook Untuk Mengesahkan Identiti
Ketika ini Facebook mempunyai kira-kira 1.28 bilion pengguna aktif dan alamat e-mel diperlukan untuk menjadi pengguna Facebook berdaftar. Oleh itu, terdapat peluang yang besar di mana anda akan menemui pemilik alamat e-mel melalui Facebook. Anda hanya perlu salin dan tampal alamat e-mel penghantar ke bar carian Facebook dan tekan butang carian.
Ia akan menunjukkan kepada anda profil yang dikaitkan dengan alamat e-mel itu. Terdapat juga kemungkinan bahawa anda tidak akan mendapat apa-apa dalam hasil carian. Anda juga harus ingat terdapat banyak profil Facebook palsu.
4. Mencari Asal IP Alamat E-mel
E-mel tidak hanya mengandungi maklumat dalam kandungan tetapi ada juga maklumat berguna yang tidak kelihatan pada pandangan pertama. Maklumat ini mengandungi alamat IP pengirim juga. Anda boleh menggunakan alamat IP ini untuk menentukan negara dan bandar penghantar untuk mendapatkan idea yang lebih baik tentang lokasi sebenar pengirim.
Untuk mengekstrak alamat IP, buka header e-mel dengan mengklik pada butang ‘Reply’ dan kemudian klik pada ‘Show Original’. Setelah header e-mel diakses, kemudian cari Received: From dan anda akan menemui alamat IP. Salin alamat IP dan tampalkan dalam bar carian alamat IP IPLocation atau Youngestsignal untuk mencari asal e-mel.
5. Mencari Di Semua Laman Web Media Sosial Terkenal
Selain dari Facebook, terdapat banyak laman web media sosial yang lain dan anda harus menyemak ID e-mel di semua laman jika anda merasakan ia mencurigakan. Walau bagaimanapun, ia akan memakan banyak masa jika anda melakukannya satu per satu di setiap laman web media sosial.
Terdapat beberapa alatan dalam talian seperti Pipl dan Spokeo yang akan membantu anda dalam pencarian anda melalui laman media sosial terkenal dan blog sama ada melalui nama, e-mel, nama pengguna atau nombor telefon mereka. Alat ini benar-benar akan menjimatkan masa anda dan juga memberi anda fleksibiliti untuk mencari orang dengan menggunakan pelbagai pilihan (nama, e-mel, nombor telefon) dan anda boleh mendapatkan keputusan dalam beberapa saat.
6. Mencari Melalui Gambar
Jika anda telah menemui gambar profil orang berkenaan melalui teknik yang dibincangkan di atas, anda boleh mendapatkan lebih banyak maklumat tentang orang tersebut dengan menggunakan carian imej untuk tujuan pengesahan. Untuk mencari maklumat tentang orang melalui imej, gunakan alat dalam talian Google Images.
Pertama sekali, muat naik imej dengan menggunakan ikon kamera kecil di sebelah kanan bar carian. Selepas memuat naik imej, klik pada butang carian berwarna biru dan ia akan menunjukkan semua laman web, blog dan sumber dalam talian lain di mana imej tertentu digunakan.
Kesimpulan
Teknik ini adalah beberapa cara yang dapat membantu anda menggali maklumat yang anda perlukan mengenai alamat e-mel yang anda rasa mencurigakan. Perlu diingatkan bahawa jika anda mempunyai keraguan, sebaiknya anda tidak membuka e-mel tersebut.