Bagaimana Usahawan Muda Ini Bina Bisnes Bernilai RM75 Juta Dalam Masa 4 Tahun

Anda sukakan makanan berasaskan mee? Pernah dengar tentang Boat Noodle? Semangkuk kecil mee di Boat Noodle dijual pada harga RM1.90. Tahukah anda bisnes Boat Noodle ini sudah bernilai RM75 juta dalam masa 4 tahun?

Sebelum mengasaskan restoran Boat Noodle, Tony Lim menjalankan bisnes bengkel kereta. Dia mula berbisnes sebaik sahaja menamatkan pengajian di dalam bidang kejuruteraan.

Tony mendapat sokongan kedua ibubapanya yang turut menjalankan bisnes pengangkutan. Ibubapanya memberikan modal tetapi dengan syarat, sekiranya bisnes bengkel tersebut tidak berjaya dalam tempoh 2 tahun, Tony perlu bekerja menguruskan bisnes keluarganya itu.

Bisnesnya gagal.

tony lim

Puncanya kerana Tony lebih berfikir lebih kepada seorang jurutera, bukannya seorang ahli perniagaan sepertimana yang sepatutnya. Malah, aliran tunai bisnes tidak diurus dengan baik oleh beliau.

Selepas beberapa tahun menguruskan bisnes keluarganya, Tony berhijrah ke Kemboja membantu adiknya membangunkan bisnes Chatime sebagai ‘master franchiser’ di sana. Di sinilah beliau mendapat ilham untuk memulakan bisnes F&B sendiri kerana beliau banyak belajar cara membangunkan bisnes tersebut.

Idea awal isterinya untuk membuka restoran makanan Thai dengan menu yang komprehensif ditolak kerana ia sukar untuk dikembangkan nanti kerana terlalu rumit.

Kerana itu Tony memilih untuk membawa konsep ‘boat noodle’ dari Thailand yang ringkas serta mudah untuk disediakan dan lebih praktikal untuk dikembangkan dengan cara francais atau perlesenan.

Bagi memastikan keaslian menu yang dihasilkan, Tony membayar RM5,000 hingga RM8,000 untuk dapatkan menu-menu dari pemilik-pemilik gerai di Thailand. Beliau turut membuat perubahan dengan mempermudahkan lagi cara penyediaan menu-menu tersebut.

Tony membuka restoran pertama Boat Noodle di Empire Damansara dengan modal RM160,000.00.

Pada peringkat awal, beliau turut ‘turun padang’ melakukan hampir semua kerja termasuk menjadi krew di restoran. Menurut Tony, beliau banyak melakukan pada waktu itu kerana tiada siapa yang membimbingnya. Antaranya, restoran pertamanya tidak mempunyai sistem saliran air yang betul, akibatnya ia menyukarkan kerja-kerja pembersihan. Malah, beliau tidak terfikir untuk mendapatkan hakcipta untuk logo dan nama restorannya.

Baca:  Kisah Kegagalan Yang Memberi Inspirasi Untuk Semua

Di sebalik semua itu, pengalaman, ilmu dan usaha kerasnya menyaksikan 9 cawangan Boat Noodle berjaya dibuka hanya dalam tempoh setahun pertama beroperasi.

Dalam tempoh 3 tahun berikutnya, Tony bukan sahaja menambah cawangan Boat Noodle kepada 26 buah termasuk di Brunei dan Jakarta. Malah, beliau turut membuka 17 kiosk Chill Chill yang menjual variasi minuman teh susu Thai (minuman popular di Boat Noodle) dan 4 kiosk C&C yang menjual minuman kopi dan biskut cookies.

Menu di Boat Noodle

Minuman teh susu Thai yang dijual Chill Chill adalah menu minuman yang asalnya dijual di Boat Noodle. Memandangkan minuman itu popular di kalangan pelanggan, Tony melihat peluang untuk menjadikannya satu produk berasingan dengan jenama sendiri.

Biskut cookies di C&C pula dijual dengan konsep baru di mana pembeli boleh mencampurkan pelbagai jenis biskut di dalam pembungkus yang mempunyai saiz standard pada harga tetap.

Ketiga-tiga jenama tersebut yang dibangunkan sendiri dari bawah diuruskan di bawah syarikatnya, Utara 5 Food & Beverage dengan 660 orang pekerja.

Pertumbuhan syarikatnya berjaya menarik sebuah syarikat F&B Jepun untuk melabur sebanyak RM30 juta dengan 40% pemilikan saham pada tahun lalu. Ini menjadikan syarikatnya bernilai sebanyak RM75 juta.

Untuk tahun 2017 ini, Tony, yang berusia 38 tahun,  menyasarkan pendapatan syarikat sebanyak RM76 juta.

Sebagai langkah untuk mengembangkan bisnesnya, Tony merancang untuk menambah lagi cawangan restoran dan kiosknya, menambah satu lagi jenama F&B dan menyenaraikan syarikatnya di bursa saham pada tahun 2019.

Dan beliau berhasrat agar kesemua pekerjanya yang turut bekerja keras membangunkan bisnesnya nanti akan dapat turut memiliki sebahagian dari pemilikan saham tersebut.

Sumber: Mazlan Mohamad

Facebook Comments